Wednesday, February 4, 2009

Hasilkan air daripada udara

Pelbagai bencana alam yang berlaku seperti pemanasan global yang menyebabkan kemarau, ribut selain gempa bumi dan tsunami menyebabkan bekalan air mentah dunia semakin susut.
Mungkin buat masa sekarang, bekalan air alternatif masih tidak diperlukan di negara ini, tetapi beberapa negara jiran telah mula menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan bekalan air mentah.
Singapura misalnya, telah menggunakan kaedah penyulingan air laut dan new water bagi mengatasi masalah bekalan air mentah.
Kini sebuah syarikat tempatan, AireMist Sdn. Bhd. telah mula memasarkan produk mengubah udara kepada air mentah yang sesuai untuk diminum.
Pengarah Urusannya Adrian Goh berkata, teknologi AireMist membolehkan udara diubah kepada air bersih dan boleh terus diminum.
"Kini tidak perlu lagi menggali perigi untuk mencari sumber air, hanya memerlukan soket elektrik dan udara," katanya semasa majlis pelancaran AireMist di Subang Jaya, baru-baru ini.
AireMist telah diiktiraf Conformite Europeene (CE) dan ahli kepada Pertubuhan Kualiti Air, Amerika Syarikat (AS).
Adrian berkata, kualiti air AireMist telah diuji oleh saintis dan didapati 99.9 peratus tulen dan mencapai piawaian kualiti air antarabangsa.
Air tulen adalah air yang bebas dari pencemaran dan kimia dan boleh diserap dengan mudah oleh badan.
Teknologi berasal dari AS semakin mendapat tempat di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air mentah.
"AireMist adalah teknologi yang mampu dimiliki bagi memberikan air minuman yang selamat dan tulen dan pada masa yang dapat menjaga alam sekitar," katanya.
Bagaimanapun Adrian berkata, pengguna negara ini tidak begitu mengambil berat mengenai air minuman yang bersih dan tulen.
Biasanya air yang dibotolkan adalah cara yang mudah untuk mendapatkan air minuman yang bersih dan tulen.
Pada 2006, penduduk dunia menggunakan 154 bilion liter air dan 80 peratus botol berakhir di tempat pembuangan sampah dan setiap botol mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk dilupuskan.
Adrian berkata, AireMist adalah sistem yang menghasilkan air daripada udara, ini bermakna air bersih boleh dihasilkan di mana saja sama ada di pejabat atau rumah.
"Udara adalah pengangkutan bagi wap air dan ini bermakna dalam sesuatu masa tertentu, terdapat air di dalam udara yang dinamakan Kelembapan Bandingan (RH) oleh saintis.
"Udara akan mengalir melalui AireMist bagi mengumpul titisan air dan mengumpulnya membentuk air minuman.
"AireMist juga berupaya menghasilkan 28 liter air dan menyimpan 16 liter selama 24 jam," katanya.
Ditanya adakah pencemaran udara menghasilkan air minuman yang tercemar, Adrian berkata, AireMist mengalirkan wap air menerusi pelbagai peringkat tapisan seperti osmosis balikan (RO) dan ultra ungu (UV) dan hasilnya adalah air minuman yang selamat, tulen dan bebas daripada bahan kimia.
"Walaupun terdapat cara yang lebih mudah untuk mendapatkan air AireMist tetap akan menjadi pilihan pengguna kerana AireMist menjadikan udara dalam rumah sentiasa bersih selepas melalui penapis anti bakteria dan anti fungus (kulat) eletrostatik.
"Selain itu air di dalam botol bukan saja mahal tetapi juga membazir dalam jangka masa panjang kerana botol mengambil masa 1,000 tahun untuk dilupuskan," katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AireMist boleh melayari laman web www.airemist.com. (dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22/1/2009)

No comments: